Sunday 14 December 2014

Patriotisme: Cinta akan Tanah Air

CINTA AKAN TANAH AIR
                            
Hari ini genap 57 tahun Malaya (Semenanjung Malaysia) mencapai kemerdekaan                 

Bagi yang masih belum faham, Malaysia masih belum terbentuk pada 31 Ogos 1957. Jadi tidak bolehlah kita kata Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-57 kerana ianya ditubuhkan pada 16 September 1963. Sepanjang bulan Ogos ini, memang boleh diperhatikan di sekitar Lembah Klang tidak ramai yang memasang Jalur Gemilang di rumah atau kenderaan mereka. Begitu juga di bangunan-bangunan baik yang dimiliki kerajaan mahupun swasta.Ini mendorong Menteri Komunikasi dan Multimedia melihat keperluan untuk diwujudkan undang-undang bagi mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan atau swasta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan. Menurut Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ini kerana masih banyak premis dan bangunan terutama milik swasta tidak peka akan kepentingannya sebagai melahirkan rasa menghargai dan kecintaan kepada negara. Jika kibaran bendera dijadikan ukuran utama semangat patriotisme rakyat, samalah seperti kita menilai sebuah buku melalui kulitnya semata-mata. Atau mengukur kesedapan pisang melalui kulitnya. Sebenarnya, patriotisme rakyat Malaysia kini berada pada tahap tertinggi pada ketika ini. Janganlah terlalu mementingkan kulit berbanding isi. Patriotisme bendera tidak membawa kita kemana-mana.

Apa sebenarnya pengertian Cinta Akan Tanah Air itu?. Perasaan cinta sebenarnya mengandung unsur kasih dan sayang terhadap sesuatu. Kemudian, dalam diri akan tumbuh suatu kemahuan untuk merawat, memelihara dan melindungi dari segala ancaman bahaya yang mengancam. Cinta akan tanah air bermaksud rela berkorban untuk tanah air dan membela dari segala ancaman dan gangguan yang datang (Rahamad, 2014). Para pahlawan telah membuktikan cintanya kepada tanah airnya iaitu tanah air Malaysia. Mereka berani mengorbangkan nyawanya demi membela tanah air Malaysia. Cinta tanah air adalah perasaan yang timbul dari dalam hati sanubari seorang warga Negara, untuk mengabdi, memelihara, membela, melindungi tanah airnya dari segala ancaman dan gangguan. Setiap kali menjelang bulan Ogos, rakyat Malaysia diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat cintakan negara. Melalui semangat cintakan negara akan dapat membentuk ke arah pembina negara bangsa yang bersatu padu. Matlamat dan wawasan dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu.

Apabila transformasi ini berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan. Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting bagi mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaan hampir 57 tahun yang lalu. Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.
Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada negara yang kita cintai. Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 57 tahun lalu. Demi untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.



 Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan dalam sesebuah negara.
Di samping itu, patriotisme juga memerlukan komitmen yang tinggi dalam seseorang pemimpin dan semua golongan rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat. Kesetiaan pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan semakmur Malaysia.
Selain itu, nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara. Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi (Taib, 2004). Usaha haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu. Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-57 dan Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam hati setiap rakyat negara ini.

Ini mencerminkan jiwa patriotik dan perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cintakan negara. Sebagai seorang pelajar ataupun seorang rakyat di Malaysia, pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk menerapkan semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara. Hal ini akan melambangkan personaliti seseorang rakyat Malaysia yang cinta akan tanah air.
Sebagai contohnya, Pendeta Za'ba ialah seorang pejuang kemerdekaan yang telah berjuang demi memimpin orang Melayu pada zamannya. Beliau menyatakan: “Saya telah diminta untuk memimpin orang Melayu pada ketika itu, saya menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya ingin menentang Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa sebarang bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik Melayu”.  Sebenarnya, pembinaan bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang menjadi silibus di setiap sekolah dapat dijelaskan menerusi aspek pendidikan yang memberikan ilmu ke arah semangat cintakan negara. Remaja adalah aset terpenting negara.
Penerapan semangat patriotisme iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara bangsa (Mansor, 2012). Memupuk semangat cintakan negara tidak seharusnya bergantung pada wahana sejarah semata-mata. Hal ini demikian kerana, boleh dilakukan melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cintakan negara. Bukan itu sahaja, semangat cinta akan tanah air dapat dilahirkan semasa kita berjuang demi menegakkan keamanan dan kemurniaan di sesebuah negara yang kita taklukinya. Pemupukan jati diri kepada rakyat mestilah bermula daripada rasa cinta dan sayangkan negara. Negara ini adalah tanah tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk semangat patriotisme kepada rakyat mestilah melalui kesedaran dan ilmu dengan menerapkan kesedaran patriotisme melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah air. Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan juga dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di sekolah. Sebagai contohnya, kita dapat menerokai erti cinta akan tanah air menerusi sebuah sajak iaitu:

Engkau Tanah Air

pemilik perut yang berbudi

penampung hujan penyedut sinar mentari

lahirlah anakmu dari semaian petani

Engkau Ibu Murni

dengan jasa abadi

berdetik didenyut nafas kami

kerna kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa

segala seperti kami

dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi

di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu

sejarah hidup zaman berzaman

pernah merangkul pahlawan kemerdekaan

mereka sujud dalam kaku

mohon perlindungan

Bukankah dengan

kasih dan harapan

kau tenggelamkan mereka dalam dakapan

di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru

di atas rongga jantungmu

akan tertegak bertapak dalam kebebasan

cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

Agak menyedihkan kerana kebanyakkan anak muda sekarang tidak pernah merasai kesusahan zaman penjajahan, mereka tidak pula didedahkan dengan aktiviti untuk memupuk perasaan cintakan akan tanah air (Abdullah, 2003). Kita boleh imbas kembali perjuangan pada zaman penjajahan seperti Tragedi Bukit Kepong, Tragedi Pemikiran Manusia dan lain-lain. Ini dapat digambarkan dengan pemikiran seorang rakyat yang cinta akan tanah air. Oleh sebab mereka tidak pernah merasainya, rasa cinta akan tanah air seolah-olah tidak penting dalam diari hidup mereka. Sebagai contohnya, dalam mata pelajaran Sejarah, murid-murid sama ada di sekolah rendah atau menengah harus diajar pelbagai perkara tentang sejarah tanah air, susah-payah pejuang kemerdekaan, kesukaran penduduk ditindas penjajah, bagaimana kita memperoleh kemerdekaan dan pelbagai perkara lagi. Mereka dapat megenali tokoh-tokoh perjuang semasa zaman penjajahan seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, Dol Said dan Mat Kilau. Mereka telah berjasa dan berbakti akan negara pada zaman penjajahan.
Tidak dinafikan bahawa sekolah mampu memainkan peranan untuk menanam rasa cinta akan tanah air dalam kalangan generasi muda. Selain subjek Sejarah, aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan boleh mendekatkan diri dan jiwa murid sekolah dengan rasa cinta akan tanah air. Mereka akan menghayati dan memahami sukarnya pejuang-pejuang terdahulu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah iaitu British, Belanda, Jepun dan sebagainya. Selain mendeklamasi sajak, pengkisahan tokoh sejarah, pementasan drama pendek dan melukis potret tokoh sejarah, pihak sekolah boleh mengadakan pertandingan menulis puisi, cerpen dan drama pendek yang bertemakan cintakan tanah air.


Dengan cara ini, murid-murid akan membuat rujukan, dan mempelajari sejarah dengan lebih mendalam yang setidak-tidaknya akan berbekas dalam jiwa mereka. Sejarah tanah air dapat menanam rasa setia generasi muda terhadap tanah air, malah mereka akan mengenali tokoh-tokoh pejuang bangsa dan negara yang membolehkan kemerdekaan dicapai dan mengisinya pula dengan kejayaan dalam pelbagai bidang. Anak-anak muda yang diasuh dan dibiasakan dengan sejarah tanah air tidak akan mudah terpengaruh dengan anasir asing yang cuba menggugat keamanan dan mencemarkan kesucian Perlembagaan. Sikap cinta akan tanah air perlu ditanamkan sejak usia kecil, agar menjadi  generasi pembela bangsa dapat mewujudkan sikap dan tingkah laku yang bermanfaat bagi kepentingan masyarakat dan menghindari penyimpangan-penyimpangan sosial yang dapat merusak norma-norma dan nilai-nilai kebudayaan (Abdullah, 2003) . Perwujudan rasa persatuan dan cinta akan tanah air harus kita laksanakan di lingkungan keluarga, sekolah, tempat tinggal kita, bahkan di manapun kita berada. Semangat persatuan dan kesatuan dalam bermasyarakat harus dijaga guna mempererat tali persaudaraan, saling melindungi, perdamaian dan kenyamanan pun akan terjaga.


Kesimpulannya, cinta akan tanah air dan patriotisme berkait rapat dengan erat, keduanya sama-sama mengedepankan kepentingan bangsa dan negara serta mewujudkan kepentingan bangsa dan negara dalam membela, melindungi tanah air dari ancaman dan gangguan yang berlaku seperti dahulu. Sebenarnya, kita dapat menjelaskan bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu ialah hak yang penting dalam segala bangsa dan oleh sebab itu maka penjajahan yang berlaku di jadikan sebagai pengajaran dalam hidup supaya kita sebagai rakyat yang kukuh dan berjiwa harus cinta akan tanah air.


                                                               

No comments:

Post a Comment